Tuesday, November 30, 2010

SBDJ (Jilid 1) Siri 4: Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di haalman rumah dengan anak cucu. Datuk membelikan mereka untuk anak cucu. Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.
Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu. Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara :
“Usah bimbang, ia akan balik dalam sehari dua ini.”
“Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu.” Jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.
Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian. Sebagai isteri yang setia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka. Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek. Ia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau ai kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.
Barang kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana. Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk. Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji. Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.
Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, iaitu semasa kereta anak cucunya bergerak, datuktidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba.
“Sampaikan salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya merenung muka nenek.
“Boleh, jangan bimbang,” nenek memberikan perngakuan. Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping. Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang. Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak guna kalau dudu rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.
Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha bersar. Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya. Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.
Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang. Ia terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat Muhammad Hakim keluar dari kereta.
“Kenapa ada barang tinggal ?” Tanya nenek.
“Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam. Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai pegawai kastam.
“Apa yang mesti kita buat ?” Nenek menyoal. Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah. Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.
Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun balik. Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah. Selepas sembahyang, seorang jiran datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu dengan tenang.
“Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran yang menyampaikan pesan. Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa injin kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan jauh.
Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam. Kereta datuk sudahpun melintasi Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam hujan lebat. Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan datuk terpaksa memberhentikan keretanya.
Datuk sudahpun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan tiba-tiba, Ia cuba menghidupkan injinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluarkan dari perut kereta. Datuk membuka bahagian depan dengan lampu oicit di tangan ia meraba semua wayar yang terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.
Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal. Kilat mula bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa diri nya berada tidak jauh dari Bukit Berapti. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.
Hujan terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang melintas di situ. Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia, Tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah.
Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang . Kemudian ia memutuskan untuk pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk menguncikan semua pintu kereta. Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat. Datuk masuk ke dalam satu lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan.
Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.
“Saya mahu tumpang berteduh,” kata datuk.
“Begitu, masuklah ke dalam.”
“Tak payah, biarlah di luar sahaja.”
“Jangan begitu masuklah.” Pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke dalam rumah. Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang tamu. Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.
“Tinggal seorang saja,” tanya datuk. Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup angin malam.

“Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”
“Suami ?”
“Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis di Sungai Siput.”
“Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini,”
“Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya memerlukan pertolongan dari awak.”
“Awak perempuan yang baik hati,”
“Usahlah terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.
Di luar ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri, sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah. Datuk terdengar bunyi lolongan anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk terdengar bunyi suara perempuan mengilai. Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu, perempuan muda menuduh dia biadab.
Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina. Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.
Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.
“Bilik untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.
“Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak,” tambah perempuan cantik itu, “kereta awak dan awak selamat di sini.”
“Terima kasih.” Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar. Datuk tersenyum, dan terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk menggelengkan kepala.
“Aku tidak sejahat itu,” kata datuk dalam hati. Ia rebahkan badan atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak mengiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja. Akhirnya, datuk terlelap, ia bermimpi ada orang kepala anjing datang padanya lalu mahu membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati. Dalam perlawanan itu , datuk tewas pada orang berkepala anjing itu terus mengoyak daging peha datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.
Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk. Tidak ada katil. Tidak ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi, indah ternyata sebuah rumah buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.
Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan kekitar rumah itu ama meyeramkan. Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala. Tidak napak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.
Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu sudah masuk ke dalam perutnya.
“Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk. Ia pun meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan. Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Ia kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia. Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.
“Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.
“Sebab ?”
“Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”
“Begitu ?” suara datuk lembut.

No comments:

Post a Comment